Tuesday, June 8, 2010

16 Masjid Raya Al-Mashun Kota Medan, SUMATRA BARAT

    Pagi ini saya bersolat subuh jam 5.00 pagi di Masjid Raya Al-Mashun Kota Medan. Terletak dijalan yang sama dengan Hotel Novotel Seochi, saya menaiki tut-tut ke masjid kerana hujan renyai-renyai. Masjid ini di bina pada tahun 1909 dengan bantuan penjajah Belanda. Ia merupakan masjid milik kerajaan Melayu Deli pada waktu tersebut. Masjid ini terletak berhampiran dengan Istana Maimun, istana Kesultanan Melayu Deli, Medan.

Monday, June 7, 2010

15 Masjid At Taqwa, KOTA WISATA BRASTAGI, SUMATRA

  Bersama wargakerja dan keluarga kami berkunjung ke Kota Medan. Dari Kota Medan kami menuju Parapat, Tasik Toba. Bagaimanapun saya tidak dapat bersolat subuh di Parapat kerana masjidnya agak jauh dari Hotel Niagara. Dari Parapat kami ke Kota Wisata Brastagi di Tanah Karo. Disini saya dapat bersolat subuh jam 5.00 pagi di Masjid At Taqwa, sepuluh minit berjalan kaki dari Hotel Grand Mutiara. Kami hanya bersolat seramai 3 orang termasuk imam. Masjid ini agak kecil tetapi popular semasa solat Jumaat kerana berada dijalan utama Brastagi-Medan.

Saturday, May 29, 2010

14 Masjid Tanjung Keling MELAKA

      Saya sekeluarga kali ini bercuti di Melaka sempena cuti Wesak. Saya datang bersolat subuh ke Masjid Tanjung Keling yang hanya beberapa minit memandu dari hotel Shah Beach. Masjid ini merupakan sebuah masjid lama yang telah diubahsui. Senibina masjid ini sama seperti Masjid Kampung Hulu yang berada berhampiran kawasan Jonker Walk. Jadi bolehlah dikatakan ia sezaman dengan masjid Kampungg Hulu yang mashyur dan dibena pada 1728 mengikut catatan Muzium Negara.

Wednesday, May 5, 2010

13 MAKKAH AL MUKARRAMAH

Saya berada di Mekah dari 5 hingga 13 May kerana menunaikan umrah. Oleh itu saya dapat melakukan solat subuh selama 9 hari sepanjang berada di Mekah. Solat disini adalah 100,000 kali lipat berbanding dengan solat solat ditempat lain. Satu solat disini bersamaan dengan solat selama 55 tahun 6 bulan 20 hari.  Disinilah berdirinya kaabah, kiblat bagi semua oarang Islam diseluruh dunia. Sangat sukar  untuk saya menuliskan keistimewaan bersolat subuh disini, cukup sekadar saya menyatakan disini, pergilah sendiri untuk mengalaminya. Insyaallah anda menjadi orang yang dipilih dan dapat meneruskan solat subuh apabila berada di tanah air dan memperolehi nikmat bersolat dimasjid.

12 Masjid Nabawi MADINAH AL MUNAWWARAH

 Kali ini saya menunaikan solat subuh di Masjid Nabawi, Madinah kerana menunaikan umrah dari 3 May hingga 16 May 2010.  Sebenarnya adalah tidak wajar membariskan Masjid Nabawi bersama-sama masjid lain dalam blog ini kerana kemuliananya. Bagaimanapun saya postingkannya disini kerana pada tarikh ini saya bersolat subuh disini. Telah banyak yang ditulis mengenai Masjid Nabawi, bagi saya keistimewaan yang sangat besar ialah kerana di situlah terdapatnya Makam Nabi SAW dan dua rakan karibnya Abu Bakar dan Omar. Disamping itu terdapat kawasan Raudah atau salah satu dari taman-taman syurga. Bersolat sunat diraudah ini tenang dan menenangkan walaupun ia merupakan tempat yang paling sukar untuk mendapatkan ruang untuk solat 2 rakaat. Masjid ini boleh menampung 90,000 orang jemaah di dalam masjid dan 430,000 jemaah di kawasan dataran masjid. Senibinanya sungguh cantik, selesa dan amat user friendly untuk bersolat disini. Pembesarannya dibuat oleh Raja Fahd, pelayan dua kota suci bermula 1973 dengan 9 kali ganda dari saiz sebelumnya.

Friday, April 30, 2010

11 Masjid Sultan Abu Bakar TEMERLOH

        Kali ini saya bertugas di Temerloh , Pahang dan berpeluang bersolat subuh di Masjid Abu Bakar, Temerloh. Masjid ini dibuka dengan rasminya pada 21 Mac 1969 oleh Sultan Abu Bakar. Masjid ini agak besar sesuai dengan tarafnya sebagai masjid daerah. Bagaimanapun rekabentuk nya seperti sebuah dewan dengan hiasan luaran dan dalaman nya seperti masjid.

Thursday, April 29, 2010

10 Masjid Sultan Mahmud LIPIS

   Hari ini saya bersolat subuh di Masjid Sultan Mahmud di Bandar Lipis kerana ada tugasan di sini. Masjid ini di rasmikan pembukaannya pada hari Jumaat 27 Ogos 1971 oleh Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang pada masa itu. Masjid ini agak luas dan tersergam diatas bukit di utara bandar Lipis. Senibina luarnya masih kelihatan cantik bagaimanapun hiasan dalamanya agak usang. Terdapat hampir 50 jemaah bersolat subuh pada hari ini, majoriti terdiri dari golongan yang sudah bersara.

Tuesday, April 20, 2010

9 Surau Skypark Terminal SUBANG

      Hari ini saya dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk tugasan. Kali ini saya menggunakan perkhidmatan Firefly. Sampai ke terminal skypark Subang, saya sempat menunaikan solat subuh berjemaah, bagaimanapun saya tidak sempat bersama semasa tepat masuk waktu solat subuh. Meskipun keluar awal tetapi perjalanan agak perlahan kerana hujan turun di kawasan Damansara. Saya sempat berjemaah bersama 3 jemaah yang lain dan selesai solat pada pukul 6.10 pagi.

       Surau ini agak kecil bersaiz 15' x 15', tetapi agak usang. Inilah surau yang sama semasa era Subang Terminal 3 dahulu, tiada perubahan walaupun terminal ini mengalami upgrading yang hebat luar dalam. Mungkin pehak MAB terlepas pandang untuk upgrade surau ini semasa proses upgrade terminal. Bagaimanapun ini bukanlah sesuatu yang luarbiasa disini.

Monday, April 5, 2010

8 Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan, PAHANG

    Hari ini saya ada tugasan di Kuantan Pahang. Oleh itu saya berpeluang menunaikan solat subuh berjemaah di Masjid Sultan Ahmad Shah Kuantan. Waktu solat subuh masuk pukul 5.57 pagi disini. Bilangan jemaah mengerjakan solat subuh berjemaah pagi ini agak terhad seramai 60-65 jemaah berbanding saiz masjis yang agak besar. Bacaan imam muda di Masjid ini sangat sedap didengar.

Sunday, March 28, 2010

7 Suleymaniye Mosque of Canning, 237 Welshpool Road Perth WA

   Pagi ini saya bersolat subuh berjemaah di Masjid Suleymaniye. Imam masjid ini di datangkan khas dari Turki. Masjid ini dibuka pada 25 Nov 1984. Oleh itu ia telah berusia 26 tahun. Waktu subuh disini jam 5.45 pagi. Pada masa ini Masjid Suleymaniye berada dibawah pentadbiran Kerajaan Turki. Imam masjid ini juga di bayar oleh kerajaan Turki. Saya di fahamkan oleh Bro Ariff khutbah Jumaat disini adalah dalam bahasa Turki dimana teksnya didatangkan dari Turki. Bilangan jemaah subuh disini antara 10 hingga 15 orang. Bagaimanapun tiada solat sunat subuh disini selepas azan subuh. Mungkin kerana waktu subuh yang pendek. Waktu subuh disini dilewatkan supaya lebih ramai yang dapat bersolat subuh disini terutamanya pemandu teksi. Apabila subuh selesai matahari telah pun cerah disini.
Kompoun taman masjid ini dijaga dengan rapi. Terdapat kolam wuduk yang cantik serta bersih dan praktikal. Terdapat juga kelas mengaji quran dan sudut membeli barangankering dari Turki.

Sedikilt kehebatan Solat Subuh
  "Dirikanlah oleh mu solat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam dan (dirikan) solat Subuh sesungguhnya solat Subuh itu adalah disaksikan (keistimewaanya)"                                             Al-Israa':78

Cuba perhatikan perkataan "disaksikan" dan "keistimewaanya"
Apakah keistimewaan subuh yang disaksikan itu. Pada waktu subuh berlaku perubahan siang dan malam. Perubahan antara tidur dan jaga.(mati dan hidup). Kemunculan matahari dan hilangnya bulan. Semua ini disaksikan keistimewaanya.

Saturday, March 27, 2010

6 Perth Airport, WA

    Kali ini saya dalam perjalanan ke Perth Australia kerana tugasan. Sampai di Perth Airport jam 5.00 pagi. Oleh itu saya sempat bersolat subuh berjemaah bersama Hj Zulkefly Daim dan seorang jemaah dari Timor Tengah di Musolla Perth Airport jam 5.30 pagi. Musolla ini agak kecil berukuran 10' x 10', agak selesa dan dijaga dengan kemas. Bagaimanapun tiada penunjuk arah ke kiblat di surau ini. Untuk berwuduk perlu berjalan ke tandas sejauh 200 meter dari surau.

Wednesday, March 24, 2010

5 Surau LCCT Sepang

Hari ini saya dalam perjalanan ke Kangar Perlis, singgah disurau LCCT Sepang untuk solat Subuh berjamaah pukul 6.05 pagi. Surau ini agak sempit berbanding ramainya bilangan jemaah yang solat berjemaah disini. MAB mungkin tidak menjangka bilangan jemaah yang bersolat dan hanya merancang ruang solat yang terhad. Di tambah dengan kedudukan qiblat yang senget menyebabkan ruang solat menjadi lebih terhad kerana susunan sejadah yang tidak regular.

Monday, March 22, 2010

4 Masjid Al Hidayah Taman Melawati

   Saya keluar awal pagi ini dan mengambil kesempatan untuk solat Subuh di Masjid Al Hidayah Taman Melawati. Solat pertama disini ialah solat Jumaat pada 20 Nov 2009. Oleh itu masjid ini baru berusia 4 bulan. Dengan terbinanya masjid ini, maka tamatlah penantian penduduk disini selama 35 tahun untuk mendapatkan sebuah masjid khusus untuk Taman Melawati. Bernilai RM9.5 juta masjid ini boleh memuat 3,500 hingga 5,000 jemaah.

Sunday, March 21, 2010

3 Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan


Sepanjang minggu ini saya bersolat subuh seperti biasa di Surau Al Iman Kemensah Heights. Hari ini atas undangan Hj Zul kami bersolat subuh di Masjid Nurul Hidayah Kg Pandan dan mengikut kuliah Utz Datuk Ismail Kamus selepas solat Subuh. Agak ramai jemaah yang menghadiri Kuliah Subuh hari ini dianggarkan 350 jemaah (L250+P100). Ini adalah kali kedua saya menghadiri Kuliah Subuh Utz Datuk Ismail Kamus di Masjid ini.

Monday, March 15, 2010

2 Surau Al Iman Kemensah Heights

Inilah surau saya mengerjakan solat subuh sejak balik dari menunaikan haji dan berpindah ke Prima Villa pada awal 2007. Terletak 1.5 km dari rumah atau 20 minit jalan kaki. Surau ini dibina pada 1999, kini berusia 10 tahun. Sembahyang Jumaat telah diadakan disurau ini sejak 2002. Ia sebuah surau yang cantik berbentuk 2 hexagon yang bersambung direka oleh Akitek GDP dan perbesarkan semula pada 2007 dibawah pengawasan arkitek Hj Juhari. Surau ini unik bagi saya kerana tiada sebarang perhiasan atau ayat quran tergantung didinding surau seperti lain-lain surau atau masjid.

1 Kenapa Travelog Subuh

Bermula dengan Bismillah,

Alhamdulilah syukur, akhirnya dapat saya membuka laman blog ini untuk merekodkan perjalanan solat subuh saya. Sepatutnya ia telah bermula pada 2007, tetapi sering tertangguh. Diharap melalui laman blog ini dapat saya catitkan perjalanan solat di surau dan masjid yang saya singgah menunaikan solat khususnya solat subuh sesuai dengan judul laman blog ini Travelog Subuh: Di manakah saya solat subuh semalam.