Tuesday, April 20, 2010

9 Surau Skypark Terminal SUBANG

      Hari ini saya dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk tugasan. Kali ini saya menggunakan perkhidmatan Firefly. Sampai ke terminal skypark Subang, saya sempat menunaikan solat subuh berjemaah, bagaimanapun saya tidak sempat bersama semasa tepat masuk waktu solat subuh. Meskipun keluar awal tetapi perjalanan agak perlahan kerana hujan turun di kawasan Damansara. Saya sempat berjemaah bersama 3 jemaah yang lain dan selesai solat pada pukul 6.10 pagi.

       Surau ini agak kecil bersaiz 15' x 15', tetapi agak usang. Inilah surau yang sama semasa era Subang Terminal 3 dahulu, tiada perubahan walaupun terminal ini mengalami upgrading yang hebat luar dalam. Mungkin pehak MAB terlepas pandang untuk upgrade surau ini semasa proses upgrade terminal. Bagaimanapun ini bukanlah sesuatu yang luarbiasa disini.


Untuk pengunjung Subang Skypark mereka perlu bersolat di surau ini terlebih dahulu kerana tiada ruang solat di waiting lounge.

Sedikit tip untuk solat subuh. Firman Allah dalam surah Ghaafir: 61 "Allah yang menjadikan malam kamu supaya kamu berihat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha) Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpahkan kurnia Nya kepada manusia akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur".

Masyarakat Barat cenderung untuk tidur diawal malam. Jarang sekali kita lihat orang dijalanan setelah waktu itu. Saya sendiri melihat fenomena ini semasa berada di Perth bulan lepas. Mereka tidur cepat bukan kerana tiada apa yang dapat membuatkan mereka berjaga malam. Bahkan mereka ada lebih dari itu. Mereka memiliki TV parabola 24 jam, bar, kasino, kedai 24 jam, pesta. Namun kepentingan dunia memotivasikan mereka untuk masuk tidur awal dan bangun lebih awal. Mereka bersemangat dalam mencari harta dunia sekaligus telah mengamalkan nilai-nilai yang dinajurkan oleh Islam.

Masyarakat Barat telah mencapai kemajuan dari segi kebendaan dan kehidupan yang teratur kerana mereka berjalan diatas sunnah kauniah (aturan alam) yang ditetapkan Allah. Allah menjanjikan dalam surah Hud: 15 "

Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakan kehidupan dunia dan perhiasanya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al Quran tentang sah batalnya) maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka didunia, mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya".

Lihatlah masyakat Islam di sini yang menonton hiburan TV  hingga lewat malam, ESPN bola, pengunjung kopitiam, warung mamak, hotel lounge, ceramah politik. Kini kita biasa mendengar pejabat kerajaan bermesyuarat hingga lewat malam, ada yang terus tanpa henti solat maghrib.

Berjaga malam bukanlah satu-satunya sebab musibah yang menimpa kita hari ini, tetapi kita tidak akan mendapat tempat yang disegani diantara masyarakat dunia sekarang dengan cara hidup yang sudah terbalik dari ketentuan Allah SWT. Bangun dan bukalah mata, lihat sekeliling., jangan sampai Subuh meninggalkan kita.

Wassalam.

No comments: