Monday, April 5, 2010

8 Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan, PAHANG

    Hari ini saya ada tugasan di Kuantan Pahang. Oleh itu saya berpeluang menunaikan solat subuh berjemaah di Masjid Sultan Ahmad Shah Kuantan. Waktu solat subuh masuk pukul 5.57 pagi disini. Bilangan jemaah mengerjakan solat subuh berjemaah pagi ini agak terhad seramai 60-65 jemaah berbanding saiz masjis yang agak besar. Bacaan imam muda di Masjid ini sangat sedap didengar.

Sedikit mengenai sejarah masjid ini yang dibina pada tahun 1993 kini berusia 17 tahun. Dibuka dengan rasminya pada Jumaat 21 Oktober 1994. Reka bentuk masjid ini bercirikan senibina Ottoman - Moorish dengan 4 minaret indah. Masjid ini dinamakan Masjid Sultan Ahmad Shah sempena nama Sultan Sultan Ahmad Al’Mu’adzam Shah, pengasas Kesultanan Melayu Pahang pada tahun 1890. Masjid ini mampu menampung jemaah seramai 8,000 orang khususnya pada waktu solat jumaat. Oleh itu peratus yang menunaikan solat subuh hanyalah 0.8 % dari kapasiti masjid ini.

Masjid ini tersergam indah dihadapan padang munisipal Kuantan dan berada  ditengah pusat bandar. Kedudukanya sangat membanggakan. Suasana masjid ini bersih dan kelihatan terurus dengan baik. Bagaimanapun kawasan dibelakang tempat wuduk /tandas nampak tidak dijaga kebersihanya.

Sedikit mengenai solat subuh untuk renungan:

Abu Hurairah RA meriwayatkan satu peristiwa yang bermaksud:
Sesungguhnya Rasulullah SAW ketika pulang menunggang unta dari peperangan Khaibar telah merasa sangat mengantuk , sehingga baginda bersabda: “Wahai Bilal kita telah ditimpa malam”, maka bilal menunaikan solat beberapa rakaat yang terdaya oleh beliau, manakala Rasulullah SAW dan para sahabat terus tidur.

Apabila hampir fajar Bilal menyandarkan badan pada tunggangannya sehingga Bilal tewas dalam mengantuk. Tiada seorang pun dari kalangan sahabat yang terjaga sehinggalah mereka terasa kepanasan matahari. Rasulullah SAW adalah yang terawal bangun lalu baginda terkejut. Lantaran Bilal berkata: “Demi ayahku dan ibuku apa yang berlaku pada diriku jualah yang menimpa dirimu wahai Rasulullah”. Kemudian kesemua sahabat bersiap untuk solat. Rasulullah SAW berwuduk dan menyuruh Bilal qamat lalu baginda menunaikan solat fajar dengan mengimami para sahabat.

Apabila selesai menunaikan solat baginda bersabda:

“Barang siapa yang melupai solat maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: “ Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.” (Surah Tahaa:14 ), (Riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm: 227).

No comments: