Sunday, March 28, 2010

7 Suleymaniye Mosque of Canning, 237 Welshpool Road Perth WA

   Pagi ini saya bersolat subuh berjemaah di Masjid Suleymaniye. Imam masjid ini di datangkan khas dari Turki. Masjid ini dibuka pada 25 Nov 1984. Oleh itu ia telah berusia 26 tahun. Waktu subuh disini jam 5.45 pagi. Pada masa ini Masjid Suleymaniye berada dibawah pentadbiran Kerajaan Turki. Imam masjid ini juga di bayar oleh kerajaan Turki. Saya di fahamkan oleh Bro Ariff khutbah Jumaat disini adalah dalam bahasa Turki dimana teksnya didatangkan dari Turki. Bilangan jemaah subuh disini antara 10 hingga 15 orang. Bagaimanapun tiada solat sunat subuh disini selepas azan subuh. Mungkin kerana waktu subuh yang pendek. Waktu subuh disini dilewatkan supaya lebih ramai yang dapat bersolat subuh disini terutamanya pemandu teksi. Apabila subuh selesai matahari telah pun cerah disini.
Kompoun taman masjid ini dijaga dengan rapi. Terdapat kolam wuduk yang cantik serta bersih dan praktikal. Terdapat juga kelas mengaji quran dan sudut membeli barangankering dari Turki.

Sedikilt kehebatan Solat Subuh
  "Dirikanlah oleh mu solat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam dan (dirikan) solat Subuh sesungguhnya solat Subuh itu adalah disaksikan (keistimewaanya)"                                             Al-Israa':78

Cuba perhatikan perkataan "disaksikan" dan "keistimewaanya"
Apakah keistimewaan subuh yang disaksikan itu. Pada waktu subuh berlaku perubahan siang dan malam. Perubahan antara tidur dan jaga.(mati dan hidup). Kemunculan matahari dan hilangnya bulan. Semua ini disaksikan keistimewaanya.

Saturday, March 27, 2010

6 Perth Airport, WA

    Kali ini saya dalam perjalanan ke Perth Australia kerana tugasan. Sampai di Perth Airport jam 5.00 pagi. Oleh itu saya sempat bersolat subuh berjemaah bersama Hj Zulkefly Daim dan seorang jemaah dari Timor Tengah di Musolla Perth Airport jam 5.30 pagi. Musolla ini agak kecil berukuran 10' x 10', agak selesa dan dijaga dengan kemas. Bagaimanapun tiada penunjuk arah ke kiblat di surau ini. Untuk berwuduk perlu berjalan ke tandas sejauh 200 meter dari surau.

Wednesday, March 24, 2010

5 Surau LCCT Sepang

Hari ini saya dalam perjalanan ke Kangar Perlis, singgah disurau LCCT Sepang untuk solat Subuh berjamaah pukul 6.05 pagi. Surau ini agak sempit berbanding ramainya bilangan jemaah yang solat berjemaah disini. MAB mungkin tidak menjangka bilangan jemaah yang bersolat dan hanya merancang ruang solat yang terhad. Di tambah dengan kedudukan qiblat yang senget menyebabkan ruang solat menjadi lebih terhad kerana susunan sejadah yang tidak regular.

Monday, March 22, 2010

4 Masjid Al Hidayah Taman Melawati

   Saya keluar awal pagi ini dan mengambil kesempatan untuk solat Subuh di Masjid Al Hidayah Taman Melawati. Solat pertama disini ialah solat Jumaat pada 20 Nov 2009. Oleh itu masjid ini baru berusia 4 bulan. Dengan terbinanya masjid ini, maka tamatlah penantian penduduk disini selama 35 tahun untuk mendapatkan sebuah masjid khusus untuk Taman Melawati. Bernilai RM9.5 juta masjid ini boleh memuat 3,500 hingga 5,000 jemaah.

Sunday, March 21, 2010

3 Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan


Sepanjang minggu ini saya bersolat subuh seperti biasa di Surau Al Iman Kemensah Heights. Hari ini atas undangan Hj Zul kami bersolat subuh di Masjid Nurul Hidayah Kg Pandan dan mengikut kuliah Utz Datuk Ismail Kamus selepas solat Subuh. Agak ramai jemaah yang menghadiri Kuliah Subuh hari ini dianggarkan 350 jemaah (L250+P100). Ini adalah kali kedua saya menghadiri Kuliah Subuh Utz Datuk Ismail Kamus di Masjid ini.

Monday, March 15, 2010

2 Surau Al Iman Kemensah Heights

Inilah surau saya mengerjakan solat subuh sejak balik dari menunaikan haji dan berpindah ke Prima Villa pada awal 2007. Terletak 1.5 km dari rumah atau 20 minit jalan kaki. Surau ini dibina pada 1999, kini berusia 10 tahun. Sembahyang Jumaat telah diadakan disurau ini sejak 2002. Ia sebuah surau yang cantik berbentuk 2 hexagon yang bersambung direka oleh Akitek GDP dan perbesarkan semula pada 2007 dibawah pengawasan arkitek Hj Juhari. Surau ini unik bagi saya kerana tiada sebarang perhiasan atau ayat quran tergantung didinding surau seperti lain-lain surau atau masjid.

1 Kenapa Travelog Subuh

Bermula dengan Bismillah,

Alhamdulilah syukur, akhirnya dapat saya membuka laman blog ini untuk merekodkan perjalanan solat subuh saya. Sepatutnya ia telah bermula pada 2007, tetapi sering tertangguh. Diharap melalui laman blog ini dapat saya catitkan perjalanan solat di surau dan masjid yang saya singgah menunaikan solat khususnya solat subuh sesuai dengan judul laman blog ini Travelog Subuh: Di manakah saya solat subuh semalam.